Kamis

Penyair Dan Sungai

          sejak aku dilahirkan hanya mengenali sungai
          aku kenali Sungai Jelai dan Sungai Lipis
          lebih tua dari saraf darah ditubuhku
          dan nenekku tangkas mengasuh rohaniku
          sebijak sungai-sungai idolaku itu
          sejak kecil aku mandi dan meneguk
          air Sungai Jelai hingga remaja
          dan rumah rakit yang dibina datuk
          telah mengulitku untuk tidur dan beristirehat
          semasa aku remaja belajar menulis puisi
          Sungai Jelai kujadikan latar dan lokasi
          sesekali tatkala aku mulai bosan berpuisi
          aku mendengar desah Sungai Lipis yang resah
          bagai menghirup darah soldadu penjajah
          dalam mimpiku, aku melihat bagaimana
          pahlawan-pahlawan pemberani penegak panji-panji
          Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau mula berpecah
          Tok Gajah menghilir ke Kuala Tembeling, kemudian
          mudik Sungai Tembeling ke Terengganu
          manakala Bahaman dan Mat Kilau mudik ke hulu
          menerjah arus deras dan jeram Sungai Tanum
          lari bersembunyi melalui Tanah Darul Naim ke utara
          dan aku melihat baju dan seluar mereka
          berlubang dan masih berasap akibat tembakan
          dan bedilan senapang soldadu penjajah
          aku telah diasuh oleh sungai-sungai itu
          bagai ibu kandung, sungai-sungai semakin tua
          arusnya tetap berbicara tentang lumpur
          dan cahaya keemasan ketika mentari terbenam
          nenek tetap mengharapkan aku sebijaksana
          sungai-sungai itu yang setia menyimpan cerita 



Antologi Puisi Arisel Ba

Label: